Saturday, March 29, 2008

khabar ifki

KHABAR IFKI


Khabar ifki mengisahkan perkhabaran dusta tentang Aisyah yang disebarkan oleh Abdullah bin Ubai bin Salulin. Cerita ini bermula selepas berakhirnya perang, dalam perjalanan pulang dari medan peperangan Aisyah bersama Nabi dalam usungan serta para tentera telah berhenti di sebuah tempat. Tanpa di sedari oleh Nabi dan tentera, Aisyah telah turun dari pengusung untuk qada’ hajat. Setelah selesai qada’ hajat Aisyah kembali semula ke tempat pengusung, beliau mula menyedari kalung yang dipakai telah hilang. Beliau pergi mencari kalung tersebut, setelah menjumpainya beliau kembali semula akan tetapi tiada seorang pun yang berada disitu. Beliau mengambil keputusan untuk duduk di situ sementara menunggu orang datang menyelamat. Dalam proses menunggu, Beliau telah tertidur. Hendak di jadikan cerita ada seorang tentera yang bernama Safwan bin Mua’tal yang ketinggalan di belakang mula menyedari kehilangan Aisyah.
Safwan berpatah balik dan kembali semula ke tempat persinggahan tadi, dia melihat ada seorang wanita yang sedang tidur rupa-rupanya isteri nabi Aisyah. Kehadiran Safwan telah mengejutkan Aisyah dari tidurnya. Safwan menyuruh Aisyah menunggang kuda sementara dia menarik tali kuda tanpa melihat wajah Aisyah. Dalam perjalanan mereka berdua tidak bercakap sehingga sampai di Kota Madinah. Di Kota Madinah telah timbul khabar angin tentang berita kecurangan Aisyah dengan seorang tentera yang di bawa oleh Abdullah bin Ubai bin Mua’tal. Berita tentang kecurangan Aisyah telah tersebar luas di Kota Madinah sehingga sampai ke pengetahuan Nabi dan juga sahabat. Nabi mendiamkan diri sahaja tidak berkata apa-apa. Kemudian baginda meminta pandangan para sahabatnya oleh kerana wahyu lambat turun untuk menceraikan Aisyah.
Ali r.a. mengisyaratkan supaya Aisyah diceraikan dan Rasulullah s.a.w boleh mengambil wanita lain sebagai gantinya. Tetapi cadangan Ali dikemukakan dalam bentuk isyarat sahaja bukannya berterus terang. Usamah dan selainnya pula memberikan pendapat supaya Baginda terus menerimanya sebagai isteri dan jangan mempedulikan kata-kata para seteru itu. Kemudian Baginda bangun dan berdiri di atas mimbar sambil mengungkapkan rasa kehairanannya terhadap Abdullah bin Ubai. Dengan itu, maka Usayd bin Hudayr, ketua orang Aws menyatakan kesanggupannya untuk membunuh Abdullah bin Ubai, tetapi Sa’ad bin Ubadah pula ketua orang Khazraj, iaitu kabilah Ibn Ubay tersentuh oleh sentimen kekabilahannya, lalu berlaku pertengkaran antara dua kabilah itu. Tetapi Rasulullah s.a.w meredakannya sehingga akhirnya mereka diam dan Rasulullah s.a.w juga diam tidak berkata apa-apa lagi.
Setelah pulang Aisyah telah jatuh sakit selama sebulan tanpa mengetahui berita kecurangan Beliau dengan seorang tentera. Pada suatu malam Beliau dan Ummu Mistah telah keluar untuk qada’ hajat tiba-tiba Ummu Mistah tergelincir lalu terkeluar kata-kata celaan untuk anaknya iaitu Mistah yang telah menyebarkan berita kecurangan Aisyah. Aisyah terkejut mendengar berita tersebut. Beliau kembali ke rumah lalu menangis dan beliau meminta izin dari Nabi untuk pulang ke rumah ibu bapa beliau. Di rumah tersebut, beliau telah menanyakan tentang kebenaran berita palsu kepada ibu bapanya. Kemudian Nabi masuk rumah dan Aisyah telah bersumpah di depan Nabi sekiranya benar perkhabaran tersebut beliau sanggup menerima hukumannya dan sekiranya ia palsu beliau berserah kepada Allah hanya Allah sahaja yang mengetahui samada beliau bersalah atau tidak. Selepas itu maka turunlah ayat yang menunjukkan Aisyah tidak bersalah. Nabi begitu gembira dengan penurunan ayat tersebut. Selepas berita menunjukkan Aisyah tidak bersalah maka Mistah bin Usasah, Hassan bin Thabit, dan Hamanah binti Jasyshin telah menerima hukuman manakala Abdullah bin Ubai tidak dikenakan hukuman kerana Allah telah menjanjikan hukuman yang berat kepada dia diakhirat sana.